Pembahagian pentadbiran United_Kingdom

Unit-unit pentadbiran United Kingdom

Struktur pembahagian pentadbiran di United Kingdom berbilang lapis dan tidak seragam. UK terdiri daripada empat negeri (country), iaitu England, Ireland Utara, Scotland, dan Wales. Setiap satunya memiliki sistem pembatasan pentadbiran dan geografi tersendiri. Pembahagian-pembahagian ini biasanya berakar umbi pada zaman lama sebelum pembentukan United Kingdom. Oleh itu, keempat-empat negeri di UK tiada satu stratum unit pentadbiran yang sepunya.[87] Susunan ini sedikit sahaja perubahannya hingga abad ke-19, tetapi semenjak itu peranan dan fungsinya sentiasa berubah-ubah.[88] Perubahan tidak berlaku secara seragam di England, Ireland Utara, Scotland dan Wales, apalagi devolusi kuasa berkenaan kerajaan tempatan kepada Scotland, Wales dan Ireland Utara menandakan bahawa perubahan pada masa hadapan tidak mungkin seragam juga.

Kerajaan tempatan di England rumit organisasinya, kerana setiap kerajaan tempatan mengaturkan pengagihan fungsi yang berbeza-beza dengan satu sama lain. Perundangan berkaitan kerajaan tempatan di England ditentukan oleh parlimen dan kerajaan UK, kerana England tiada parlimen yang terdevolusi. Peringkat tinggi subbahagian di England ialah sembilan Kawasan Jabatan Kerajaan.[89] Salah satu kawasan itu, London Raya mempunyai dewan undangan dan datuk bandar yang diundi secara langsung sejak tahun 2000, setelah mendapat sokongan padu dalam sebuah pungutan suara.[90] Pernah diusulkan supaya kawasan-kawasan lain juga diberikan dewan undangan setempat undian tersendiri, tetapi hasrat itu lebur kerana ditolak oleh pungutan suara di kawasan Timur Laut pada tahun 2004. Di bawah peringkat kawasan, London terdiri daripada 32 boro (borough), manakala kawasan-kawasan lain pula terdiri daripada majlis kaunti dan majlis daerah, atau lembaga unitari. Para ahli majlis dipilih menerusi sistem undian terbanyak (First Past The Post) di wad satu ahli, atau sistem pengundian kelompok di wad berbilang ahli.[91]

Sejak tahun 1973, kerajaan tempatan di Ireland Utara terdiri daripada 26 majlis daerah, setiap satunya dipilih melalui sistem satu undi boleh pindah dan kuasanya terhad kepada perkhidmatan tertentu seperti mengumpul sampah, mengawal anjing liar, menyelenggara taman dan tanah perkuburan.[92] Bagaimanapun, pada 13 Mac 2008, badan Eksekutif bersetuju kepada usul untuk membentuk 11 majlis baru untuk menggantikan sistem sedia ada ini[93] maka pilihan raya kerajaan tempatan yang seterusnya ditunda ke tahun 2011 untuk menyambut perubahan ini.[94]

Kerajaan tempatan di Scotland terdiri daripada 32 kawasan majlis yang besar jumlah keluasan dan penduduknya. Bandaraya Glasgow, Edinburgh, Aberdeen dan Dundee merupakan kawasan-kawasan majlis yang berasingan, begitu juga dengan sebuah kawasan Majlis Tanah Tinggi (Highland Council) yang meliputi satu pertiga keluasan Scotland yang hanya diduduki lebih 200,000 orang sahaja. Kuasa yang dilaburkan kepada kerajaan tempatan ditadbir oleh ahli-ahli majlis terpilih dibayar dengan gaji kerja sambilan. Pilihan raya tempatan dikendalikan dengan sistem satu undi boleh pindah di wad-wad berbilang ahli yang memilih tiga atau empat orang ahli majlis. Setiap majlis memilih seorang Provost atau Convenor untuk mempengerusikan mesyuarat majlis serta berperanan sebagai ketua istiadat di kawasannya. Para ahli majlis wajar mematuhi tatakelakuan yang dikuatkuasakan oleh Standards Commission for Scotland.[95] The representative association of Scotland's local authorities is the Convention of Scottish Local Authorities (COSLA).[96]

Kerajaan tempatan di Wales terdiri daripada 22 lembaga unitari, termasuklah bandaraya Cardiff, Swansea dan Newport yang merupakan lembaga unitari yang berasingan pun.[97] Pilihan raya tempatan diadakan empat tahun sekali menerusi sistem First Past The Post[98]; pilihan raya terbaru diadakan pada Mei 2008. Persatuan Kerajaan Tempatan Wales (Welsh Local Government Association) mewakili kepentingan kerajaan-kerajaan tempatan di Wales.[99]

Wilayah tanggungan

14 Wilayah Luar Negeri British diwarnakan merah

United Kingdom memegang kedaulatan terhadap 17 wilayah yang tidak membentuk sebahagian negara itu sendiri, iaitu 14 Wilayah Luar Negeri British[100] dan tiga Wilayah Tanggungan Mahkota.

14 Wilayah Luar Negeri British ialah: Anguilla; Bermuda; Wilayah Antartik British; Wilayah Lautan Hindi British; Kepulauan Virgin British; Kepulauan Cayman; Kepulauan Falkland; Gibraltar; Montserrat; Saint Helena, Ascension dan Tristan da Cunha; Kepulauan Turks dan Caicos; Kepulauan Pitcairn; Kepulauan Georgia Selatan dan Sandwich Selatan; dan Kawasan Pangkalan Berdaulat di Cyprus.[101] Tuntutan British di Antartika tidak diiktiraf di serata dunia.[102] Jumlah wilayah luar negeri Britain secara kolektif meliputi keluasan tanah sekitar 667,018 square miles (1,728,000 km²) dan jumlah penduduk lebih kurang 260,000 orang.[103] Wilayah-wilayah ini merupakan tinggalan Empayar British; sesetengahnya memilih supaya kekal sebagai wilayah British.

Wilayah Tanggungan Mahkota merupakan tanah-tanah milik kerajaan Mahkota British, berbeza dengan wilayah luar negeri United Kingdom[104], iaitu Kebailifan Kepulauan Selat di Jersey dan Guernsey di Selat Inggeris, dan Isle of Man di Laut Ireland. Sebagai bidang kuasa yang ditadbir secara berasingan, tidak satu pun yang membentuk sebahagian United Kingdom ataupun Kesatuan Eropah, namun kerajaan UK menguruskan hal-ehwal luar negara dan ketenteraannya, manakala Parlimen UK memegang kuasa perundangan bagi pihaknya. Bagaimanapun, kuasa meluluskan perundangan yang melibatkan pulau-pulau tersebut terletak mutlak di tangan dewan-dewan undangan masing-masing, atas perkenan Diraja (Majlis Privi, ataupun Leftenan-Gabenor untuk hal-hal tertentu di Isle of Man).[105] Sejak tahun 2005, setiap wilayah tanggungan ini diketuai oleh Ketua Menteri sebagai ketua kerajaan.